forex trading logo

 

 


Laman Utama Maklumat Korporat Ucapan Pengerusi
Ucapan Pengerusi Print

Dalam persekitaran ekonomi yang serba mencabar sepanjang tahun 2009, yang masih dipengaruhi oleh masalah subprima di Amerika Syarikat dan masalah hutang negara-negara Eropah seperti Greece dan Sepanyol, KPF tabah mengharunginya dengan penuh waspada, namun proaktif dalam mengambil peluang pelaburan yang mampu meningkatkan nilai pegangan syer anggota-anggota.

 
2.   Anggota-anggota Lembaga dan pengurusan terus mengintai untuk meraih peluang dalam apa jua senario ekonomi semasa, namun masih berhati-hati dan berhemah dalam mengurus risiko-risiko yang bakal dihadapi.

   

DATO’ DZULKIFLI ABD WAHAB

ANGGOTA DAN MODAL SYER

3.    Bilangan anggota KPF terus bertambah sebanyak 6.69% kepada 207,913 (2008:194,873) manakala  modal syer anggota meningkat sebanyak 12.15%  kepada  RM1.46 bilion (2008:RM1.30 bilion). Bilangan anggota Kumpulan Peneroka bertambah sebanyak 6.9% kepada 182,578 (2008:170,800). Kumpulan ini merupakan 87.81% daripada jumlah anggota KPF.

4.    Jumlah modal syer yang dimiliki oleh peneroka dan keluarga mereka turut bertambah sebanyak 9.36% kepada RM1.02 bilion (2008:RM0.94 bilion). Jumlah modal syer yang dimiliki oleh Koperasi peneroka pula ialah sebanyak RM28.33 juta (2008:RM25.68 juta). Kumpulan Peneroka merupakan pemilik terbesar modal syer iaitu sebanyak RM1.05 bilion yang merupakan 72.08 % daripada keseluruhan modal syer, dengan purata pemilikan sebanyak RM5,763 (2008:RM5,634). Ini jelas menunjukkan betapa wujudnya kesedaran dikalangan anggota-anggota khususnya golongan peneroka untuk menabung sebahagaian pendapatan mereka.

5.    Anggota daripada Kumpulan Kakitangan pula iaitu seramai 25,335,  merupakan 12.19% daripada jumlah anggota KPF. Kumpulan ini memegang syer sebanyak RM407.58 juta ataupun 27.92% daripada keseluruhan modal syer anggota.

PELABURAN

6.    Aktiviti-aktiviti pelaburan telah dapat dilaksanakan seperti yang dirancang melalui dokongan lebih 200 ribu anggota dengan sokongan modal syer anggota yang kini mencecah RM1.5 bilion.

7.    Plaburan KPF telah pun mencecah RM2 bilion dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 18.14% berbanding tahun lalu (2008:RM1.69 bilion). Teras utama pelaburan KPF ialah pemilikan ekuiti dalam 11 buah Syarikat Kumpulan FELDA, melalui pegangan sebanyak 255.89 juta unit saham dengan kos pelaburan sebanyak RM353.6 juta.

8.    Sepanjang tahun 2009, pelaburan-pelaburan utama lain ialah pasaran sekuriti (RM547.24 juta), pelaburan usahasama/terokaan modal (RM385.34 juta), hartanah (RM235.55  juta), pasaran bon (RM64.83 juta), Amanah Raya Berhad (RM70.26 juta), pemilikan syer Bank Koperasi (RM37.68 juta) dan Saham Amanah (RM20 juta).

9.    KPF terus mengambil peluang memiliki saham dalam syarikat luar yang berdaya maju apabila mengambil 20% pegangan ekuiti dalam syarikat Teo Seng Capital, sebuah syarikat pemegang pelaburan (investment holding) dengan nilai pelaburan sebanyak RM18.60 juta. Pelaburan dalam 15 buah syarikat usahasama/luar pula meningkat kepada RM385.34 juta iaitu pertambahan sebanyak 38.04% berbanding pada tahun lalu (2008:RM279.14 juta).

10.   Pelaburan dalam sektor hartanah bernilai RM235.55 juta (2008:RM174.71 juta) telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 34.82%, melalui pembelian bangunan korporat Southgate di Jalan Sg. Besi yang berharga RM226 juta, 2 lot tanah di Bandar Baru Bangi berharga RM11.64 juta dan sebuah rumah kedai tiga tingkat di Pusat Komersil Bandar Jengka, berharga RM0.59 juta. Bangunan korporat Southgate dijangka siap sebelum akhir 2011, manakala lot-lot tanah di Bandar Baru Bangi dirancang untuk pembinaan sebuah kompleks yang menempatkan sebuah hotel, “Service Apartment” dan “Garden Restaurant”. Pelaburan hartanah ini dijangka mampu memberi pulangan sekurang-kurangnya sebanyak 8% setahun.

11.   Bulan September 2009, turut menyaksikan siapnya dua buah bangunan yang dibeli iaitu Block D5 – Solaris Dutamas (RM35.04 juta) yang terletak di Jalan Duta dan The Icon- West Wing (RM182.95 juta) di Jalan Tun Razak.

12.   Namun demikian ruang-ruang pejabat dan perniagaan di Block D5 – Solaris Dutamas, sedang dalam proses untuk dijual. Sehingga akhir 2009 sebanyak 12 unit ruang pejabat dan niaga bangunan ini telah dijual dengan harga RM18.09 juta iaitu keuntungan sebanyak RM4.49 juta atau 33% daripada kos belian.

13.   Bangunan The Icon-West Wing telah diberikan jaminan sewa tahunan 7% setahun berjumlah RM12.81 juta untuk tempoh dua tahun bermula pada bulan November 2009. Walaupun begitu Lembaga merancang untuk menjual bangunan ini kepada pembeli yang berpotensi kerana ia mampu menjana keuntungan melebihi 30% daripada kos asal pembelian.

KEUNTUNGAN

14.   Tahun kewangan 2009, melakarkan sejarah apabila KPF mencatatkan pendapatan tertinggi bagi tempoh 29 tahun iaitu, sebanyak RM369.19 juta, meningkat 45.25% berbanding tempoh yang sama tahun lalu (2008:RM254.18 juta). Dividen kasar daripada Syarikat-syarikat FELDA telah menyumbang sebanyak RM289.69 juta, atau 78.47% daripada jumlah pendapatan keseluruhan KPF (2008: 75.86%), juga mencatatkan rekod dividen tertinggi yang pernah dibayar.

15.   Keuntungan bersih sebelum cukai ialah sebanyak RM328.72 juta, meningkat sebanyak 40.26% berbanding tahun lalu (2008:RM234.36 juta). Tahun 2009 juga  turut mencatatkan peningkatan bayaran zakat perniagaan iaitu sebanyak RM10.90 juta meningkat 62.13% berbanding RM6.72 juta pada tahun lalu.

DIVIDEN

16.   Pada tahun 2009, KPF telah mencapai keuntungan bersih selepas cukai dan zakat sebanyak RM211.80 juta, iaitu meningkat 31.86% berbanding tahun lalu (2008:RM160.62 juta). Oleh itu KPF telah mengistiharkan dividen/bonus tunai sebanyak 14% melibatkan bayaran sebanyak RM210 juta.

ANUGERAH DAN PENGIKTIRAFAN

17.   Sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2009, KPF sekali lagi diberi pengiktirafan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Suruhanjaya) sebagai koperasi kedua terbaik negara. Pengiktirafan ini diberi berdasarkan pencapaian pendapatan, aset dan ekuiti, aktiviti perniagaan, pengurusan organisasi dan pematuhan perundangan yang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya.

18.   Pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk warga KPF meningkatkan usaha bagi mempertahankan kejayaan yang dicapai ini. Usaha akan diteruskan untuk merancakkan lagi aktiviti pelaburan dan menyediakan perkhidmatan kepada anggota dengan menggembleng secara bijak sumber-sumber yang ada. KPF akan mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan pelaburan KPF tetap berkembang dan pendapatan terus meningkat.

HALATUJU

19.   KPF sentiasa bekerja dengan bermatlamatkan untuk memberi kepuasan kepada anggota. KPF telah melaksanakan beberapa perubahan dan pembaharuan bagi meningkatkan lagi kemampuan teknologi maklumatnya.

20.   Menjelang 1 Julai 2010, KPF mencapai usia 30 tahun penubuhannya. Dengan pengalaman dan kematangan yang ada, KPF mampu berdepan dengan apa jua situasi ekonomi, untuk terus membina halatuju dan strategi baru. Melalui penubuhan subsidiarinya seperti KPF Holdings Sdn Bhd, KPF bersedia menceburi bidang-bidang perladangan, perhotelan dan usahasama di luar negara. KPF juga sedang mempersiapkan segala keperluan dan kepakaran yang sesuai bagi melibatkan diri sebagai sebuah lagi bank koperasi yang berjaya di negara ini pada suatu masa kelak.

PENGHARGAAN

21.   Saya dan Anggota Lembaga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota KPF yang telah memberikan sokongan dengan meningkatkan simpanan sepanjang tahun lalu serta syabas kepada kakitangan KPF yang telah bertugas dengan cekap. Lembaga juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan FELDA dan Kumpulan Syarikat FELDA di atas kerjasama dan peluang pelaburan yang telah mendatangkan keuntungan kepada KPF.


DATO’ DZULKIFLI ABD WAHAB

Pengerusi

Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad

 

Berita Mutakhir

Mutiara Kata

Sabda Rasulullah saw "Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku ia tidak termasuk golonganku." (Bukhori dan Muslim)

Al Hikmah

Waktu Solat

[ Tukar Kawasan ]
Tutup

Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad 2009. Hakcipta Terpelihara.
This page is best viewed in IE 7.0.5 and above with 1024 x 768 resolution.